ABDUL Hamid Bador
ABDUL Hamid Bador
Siraj Mohd Zaini


AHLI perniagaan Low Taek Joe atau lebih dikenali sebagai Jho Low mendapat perlindungan dari negara tempat persembunyiannya kini sehingga menyukarkan tugas polis menahan serta mengekstradisinya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan polis juga mendapati Jho Low bebas bergerak dan menjalankan perniagaannya di negara berkenaan.

Menurutnya, polis kini sedang dalam proses rundingan dan akan meningkatkan tekanan terhadap negara berkenaan untuk membawa pulang Jho Low.

“Dia (Jho Low) sungguh licik dan ada agenda jahat, dia guna wang untuk beli serta merasuah orang.

“Polis tahu di mana dia dan konconya, kita sedang berunding serta meningkatkan tekanan terhadap negara itu supaya menyerahkan dia kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara Minda di Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Hamid berkata, negara yang melindungi Jho Low mendakwa ahli perniagaan itu menjadi mangsa politik sehingga enggan menyerahkannya kepada Malaysia.

“Ia tiada kaitan dengan politik, ia kes jenayah dan kenapa mereka tak nak beri kerjasama.

“Kita ada perjanjian ekstradisi dengan negara itu tapi mereka bertegas tidak mahu serahkan Jho Low.

“Saya tidak boleh sebut negara mana sebab akan mengganggu proses rundingan, namun kita sedang tingkatkan usaha dengan bantuan Interpol,” katanya.

Hamid berkata, beliau meletakkan sasaran membawa pulang Jho Low bagi menghadapi setiap pertuduhan dihadapinya selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 4:23 PM