ALIRAN trafik antara Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang. FOTO Asyraf Hamzah
ALIRAN trafik antara Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang. FOTO Asyraf Hamzah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBANYAK 28 jalan dan dua lebuh raya di Kuala Lumpur akan ditutup seawal 3.45 pagi Ahad ini sempena Kuala Lumpur Standard Chartered International Marathon 2019 pada 29 September ini.

Jalan terbabit ialah Jalan Raja, Jalan TAR, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Akleh, Lebuhraya Duke, Jalan Kuching, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Raja Abdullah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, turut ditutup dan dilencongkan ialah Jalan Langgak Tunku, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku, Jalan Tun Ismail, Jalan Dato’ Onn, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Parlimen, Jalan Damansara, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Kinabalu, Bandar Sultan Hishamudin, Jalan Cenderawasih, Jalan Kampung Pandan dan Jalan Pahang.

“Semua jalan berkenaan akan ditutup pada 3.45 pagi kecuali untuk dua lebuh raya berkenaan iaitu pada 2.30 pagi.

“Acara larian tahunan berkenaan dijangkakan tamat pada 11.30 pagi dan pengguna jalan berkenaan boleh melalui jalan terbabit selepas acara tamat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, acara yang sudah diadakan sejak tahun 1989 itu dijangkakan akan menerima sebanyak 40,000 peserta dari dalam dan luar negara.

“Susulan itu, polis Kuala Lumpur menyediakan 445 anggota dan pegawai polis bagi mengelakkan kesesakan di ibu kota sekaligus melancarkan majlis berkenaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan yang akan berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 4:51 PM