Muhammad Helmi Firdaus atau Amy membersihkan tandas awam tempat dia bertugas di Puchong Perdana. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Muhammad Helmi Firdaus atau Amy membersihkan tandas awam tempat dia bertugas di Puchong Perdana. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Amirul Haswendy Ashari.


“SETAKAT ini sudah ada pihak menyatakan hasrat mahu memberi sumbangan,” kata pemuda Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Helmi Firdaus Abdul Halid, 22, selepas kisah hidupnya yang penuh inspirasi dipaparkan dalam program Metro Prihatin, Rabu lalu.

Muhammad Helmi yang mesra disapa sebagai Amy disahkan mengidap penyakit Hydrocephalus atau ‘kepala besar’ sejak lahir dan lumpuh daripada pinggang ke kaki bergantung kepada penggunaan kerusi roda untuk melakukan tugas harian.

Pada masa ini, dia bekerja secara kontrak sebagai penjaga dan pencuci tandas awam di Puchong Perdana, sejak empat tahun lalu.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, selepas program Metro Prihatin disiarkan, dia turut mendapat panggilan daripada Persatuan Hydrocephalus Negara, dua hari lalu.

“Wakil persatuan beritahu mahu datang melawat saya esok. Saya belum pasti apa bentuk bantuan akan ditawarkan, tapi saya terima dengan hati terbuka.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada beberapa pihak yang sudi membantu kehidupan saya sekeluarga sebelum ini.

“Saya tidak tahu nak balas macam mana. Hanya mampu berdoa semoga Allah SWT murahkan rezeki mereka, itu saja," katanya ringkas.

Amy yang menetap di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6 (BK6) bersama ibu dan kakaknya yang juga seorang OKU, bagaimanapun berharap ada pihak yang sudi menawarkan pekerjaan tetap.

Menurutnya, dengan cara itu saja dia mampu memperoleh pendapatan bulanan tetap dan teratur selain jaminan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pada masa ini, Amy mendapat bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Sebagai usaha mencari pendapatan tambahan, dia turut mengutip besi buruk dan tin untuk dijual.

Pembaca yang ingin terus menyumbang boleh menghubungi Hasazila Mohamed Hashim di talian 011 6194 7550 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1013129000075371 Muhammad Helmi Firdaus.

Berita berkaitan

'Pelik Allahyarham tak suruh kemas beg'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 11:02 PM