Murid SK Jeneri dan pelatih IKM bergotong-royong menyiapkan mural dan landskap di sekolah itu. FOTO Ihsan Asri Ahmad
Murid SK Jeneri dan pelatih IKM bergotong-royong menyiapkan mural dan landskap di sekolah itu. FOTO Ihsan Asri Ahmad
HM Digital

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Jeneri, Sik, Kedah terpilih mewakili negeri itu ke pertandingan peringkat kebangsaan bagi program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) Oktober ini.

Sekolah itu menyertai pertandingan bagi kategori bilik sumber PPDa manakala Sekolah Kebangsaan Kedawang, Langkawi yang turut terpilih memasuki kategori laluan PPDa.

Berikutan itu, SK Jeneri kini giat mengindahkan bilik sumber selain kawasan persekitaran dengan melukis mural di dinding bangunan sekolah selain membina landskap di laman sekolah.

Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu, Asri Ahmad, 51, berkata, bagi merealisasikan tujuan itu, sekolah berkenaan turut bekerjasama dengan Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik serta pelbagai agensi kerajaan.

Katanya, antara agensi kerajaan yang turut membantu ialah Pejabat Daerah Sik, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Menurutnya, lebih 130 murid dan pelajar IKM terbabit dalam menyiap dan mengindahkan bilik sumber, lukisan mural serta landskap.

“Program ini memberi peluang kepada murid menunjukkan kebolehan dan bakat mereka.

“Selain itu program ini dapat menjalin hubungan dengan pihak luar sebagai salah satu khidmat sosial,” katanya.

Bilik sumber yang dipertandingkan pada program PPDa peringkat kebangsaan bulan depan. FOTO Ihsan Asri Ahmad
Bilik sumber yang dipertandingkan pada program PPDa peringkat kebangsaan bulan depan. FOTO Ihsan Asri Ahmad

Menurutnya, lebih 700 murid sekolah itu turut menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan seperti membina replika, melukis serta mewarna poster berkaitan dadah dan sukaneka.

“Guru Besar sekolah ini, Azahari Abdullah berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini terutama IKM Sik yang menjadikan sekolah ini sebagai anak angkat mereka.

“Kami berharap sekolah ini akan melakar kejayaan dalam pertandingan itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 9:21 PM