ANTARA senjata dirampas dalam kejadian berbalas tembak di Batu Arang, Sabtu lalu. FOTO SUPIAN AHMAD
ANTARA senjata dirampas dalam kejadian berbalas tembak di Batu Arang, Sabtu lalu. FOTO SUPIAN AHMAD
Mohd Azam Shah Yaacob


SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) akan menyiasat kejadian berbalas tembak antara polis hingga menyebabkan tiga lelaki maut di Jalan Rawang-Batu Arang, Sabtu lalu.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga ketiga-tiga individu yang meminta pihaknya menyiasat kejadian itu yang menimbulkan tanda tanya dan persoalan.

Katanya, antara perkara itu adalah maklumat salah seorang anggota bertugas di Balai Polis Bandar Country Homes memaklumkan empat individu ditembak dalam kejadian itu dan bukannya tiga sebagaimana kenyataan polis.

“Berdasarkan maklumat pihak keluarga mendakwa bahawa seorang lagi individu ditembak cedera di bahagian kaki, namun individu itu sempat lari ke hutan.

“Keluarga mendakwa perkara itu dimaklumkan sendiri anggota bertugas di Balai Polis Bandar Country Homes dan jelas bercanggah dengan kenyataan polis sebelum ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SUHAKAM, hari ini.

Turut hadir keluarga ketiga-tiga individu ditembak mati oleh polis, Sabtu lalu.

Jerald berkata, selain itu antara perkara lain menjadi tanda tanya adalah apabila salah seorang wanita iaitu G Moganambal yang sepatutnya berada bersama tiga lelaki itu ketika kejadian masih hilang sehingga kini.

“Wanita itu yang masih hilang sempat berkongsi lokasi terakhirnya bersama salah seorang ahli keluarga pada jam 1.38 pagi hari kejadian, menunjukkan mereka berada di Persiaran Serdang Perdana, Serdang,” katanya.

Menurut Jerald, SUHAKAM bercadang bertemu Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin bagi mendapatkan penjelasan sebenar kes itu.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mahu dikenali sebagai G Vasanthi berkata, tiga lelaki ditembak mati polis itu adalah V Janarthanan, G Thavaselvan dan seorang lagi kenalan mereka.

Katanya, Janarthan dan Mogabambal adalah pasangan suami isteri dan baru tiba di negara ini bersama tiga anak mereka pada 31 Ogos lalu.

“Mereka adalah pemastautin tetap (PR) di United Kingdom dan tidak logik jika mengaitkan mereka terbabit jenayah pecah rumah di Selangor sejak Mei lalu sedangkan baru berada di negara ini tidak sampai dua minggu.

“Pada malam hari kejadian, mereka melawat rumah saya di Bandar Country Homes Rawang dan keluar rumah jam 10 malam untuk makan malam di sebuah restoran menaiki kereta Perodua Alza berwarna putih yang disewa.

“Selepas mereka tidak pulang sehingga pagi, kami membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka di Balai Polis Serdang dan hanya mengetahui mereka ditembak mati pada jam 9.45 pagi Sabtu lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 9:06 PM