DR Mizan Adilah menyiram air mawar ke pusara arwah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ginching, Sepang hari ini. FOTO BERNAMA.
DR Mizan Adilah menyiram air mawar ke pusara arwah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ginching, Sepang hari ini. FOTO BERNAMA.
BERNAMA

ALLAHYARHAM Tan Sri Shafie Mohd Salleh, yang meninggal dunia di Hospital Selayang hari ini, adalah individu yang bertanggungjawab mengangkat martabat pengakap Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Shafie, 73, Ketua Pengakap Negara sejak 2005 hingga ke akhir hayatnya, telah menghidupkan kembali Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) selepas 20 tahun tidak bergerak secara aktif, dengan penstrukturan semula organisasi pengakap menjadi lebih efektif dan efisyen baik di dalam mahupun luar negara.

Ia sekali gus membuka ruang untuk meletakkan PPM dikenali dan saling bekerjasama dengan persatuan pengakap seluruh negara melalui persidangan antarabangsa, jambori pengakap dan lain-lain lagi.

Usaha Allahyarham juga mendapat restu daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai penaung utama PPM bagi menyampaikan bintang dan pingat pengakap untuk diadakan di Istana Negara dan istana-istana negeri Raja Melayu dan Tuan Yang Terutama negeri terbabit.

Antara jasa Allahyarham yang pastinya dikenang adalah berjaya menganjurkan Majlis Anugerah Bintang Tertinggi PPM (2006) kepada perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Agong Kehormat PPM dan Presiden Republik Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono selaku Ketua Majelis Pembimbing Nasional Gerakan Pramuka.

TAN Sri Shafie banyak berjasa menaikkan pengakap Malaysia. FOTO BERNAMA.
TAN Sri Shafie banyak berjasa menaikkan pengakap Malaysia. FOTO BERNAMA.

Allahyarham, yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi turut bertanggungjawab menubuhkan Pengakap ASEAN membabitkan negara ASEAN selain penganjuran The First ASEAN Scout Conferencedi Kuala Lumpur pada 2007 dan The Second Scouts Association For Regional Cooperation (ASARC) Conference di Jakarta pada 2008 dan ASARC 2012 di Chiang Mai, Thailand.

Allahyarham juga terbabit dalam jawatankuasa yang membida perpindahan Ibu Pejabat World Organisation of Scout Movement dari Geneva ke Kuala Lumpur yang kemudiannya berjaya dilaksanakan pada 2014.

Pada 19 Ogos lalu, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad diisytiharkan sebagai Presiden Agung PPM dan pengisytiharan tersebut disempurnakan oleh Allahyarham sendiri, selaras dengan Prosedur Organisasi dan Pindaan (POR) pindaan 27 Mac 2010, Bahagian II, Seksyen 1.

Pada majlis sama, Dr Mahathir juga menerima Anugerah Bintang Semangat Padi Kelas Pertama (Emas) iaitu anugerah tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia.

Menerusi buku yang diterbitkan sempena ulang tahun ke-100 PPM, Shafie dalam amanatnya berharap PPM akan terus mempertingkatkan usaha untuk mencipta sebuah dunia yang lebih sejahtera melalui ahli pengakap yang terlatih.

“Sejarah mengenai aktiviti kepengakapan di Malaysia adalah sebuah siri kisah benar warna-warni, termasuk aspirasi ahlinya dan keazaman mereka yang tidak mengenal tembok budaya.

“Sesungguhnya kisah pergerakan pengakap di Malaysia amat wajar didedahkan kepada generasi demi generasi kerana keunikannya,” katanya.

Shafie meninggal dunia di Hospital Selayang pagi hari ini akibat komplikasi dalam perut.

Allahyarham meninggalkan isteri Puan Sri Prof Emeritus Dr Mizan Adilah Ibrahim dan tiga anak.

Selain pernah memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ketua Pusat Penyelidikan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) selama lima tahun dan kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Bahagian, Kementerian Sumber Manusia dan juga Setiausaha Penyelidikan di bahagian Analisis Dasar Pusat Kajian Pembangunan Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 8:31 PM