Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Abdul Rahemang Taiming


LIMA lelaki termasuk seorang rakyat tempatan ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) BATALION 14 Tawau kerana disyaki memiliki syabu semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali berkata, semua suspek berusia antara 22 hingga 41 tahun itu ditahan anggota strike force yang melakukan tugas risik dan rondaan di Batu 10, Kalabakan 8.30 malam tadi.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat awam sepasukan anggota PGA yang sedang membuat tugas risikan memeriksa tiga motosikal dinaiki lima lelaki yang melalui kawasan itu secara berasingan.

“Hasil pemeriksaan badan, menemui satu paket plastik lut sinar mengandungi hablur jernih disyaki syabu dan sebutir peluru hidup yang disembunyikan dalam beg sandang salah seorang suspek.

“Pemeriksaan lanjut mendapati empat daripada suspek juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain mereka juga didapati positif dadah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hazani berkata, susulan penahanan itu juga membawa kepada penemuan selaras senapang bakakuk yang disembunyikan di dalam semak berhampiran ladang kelapa sawit di kawasan itu.

Katanya, semua suspek bersama barang rampasan termasuk tiga motosikal yang digunakan dalam aktiviti itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes masing-masing disiasat mengikut Akta Imigresen 1952/63 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 8:10 PM