FOTO Hiasan FOTO Arkib NSTP
FOTO Hiasan FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


KERANA syiling lama, wanita kerugian RM12,000 selepas ditipu lelaki mendakwa dari Amerika Syarikat yang berminat membeli koleksi syiling miliknya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, mangsa berusia 22 tahun itu dihubungi suspek melalui Instagram.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa menetap di Amerika Syarikat dan berminat dengan koleksi syiling lama mangsa serta ingin membelinya.

“Mangsa kemudian diminta membuat sejumlah bayaran bagi mengaktifkan transaksi pemindahan wang menggunakan mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD).

“Suspek juga memberitahu wang itu akan dikembalikan selepas transaksi mengubah mata wang USD berjaya diaktifkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, mangsa berasa ditipu selepas beberapa transaksi melalui perbankan dalam talian dibuat berjumlah RM12,000.

“Dia kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Cheras Rabu lalu.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 3:32 PM