KERETA mangsa  terbakar selepas merempuh jentera pembinaan di WCE  membabitkan jajaran Seksyen 10 Beruas, kelmarin.
KERETA mangsa terbakar selepas merempuh jentera pembinaan di WCE membabitkan jajaran Seksyen 10 Beruas, kelmarin.
Noor Hidayah Tanzizi


MANJUNG: “Kami tidak tahu anak saudara datang ke Manjung, tahu-tahu kami kehilangan mereka dalam keadaan menyayat hati,” kata ibu saudara seorang daripada mangsa yang rentung dalam kemalangan di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) membabitkan jajaran Seksyen 10 Beruas, dekat sini, kelmarin.

Dua mangsa yang rentung dikenali sebagai S Mahendran, 26, dan rakannya, R Arigaran, 28.

Kejadian jam 11 malam di lebuh raya yang belum dibuka kepada pengguna itu turut mengakibatkan seorang lagi rakan mereka berusia 30 tahun parah di kepala dan kini dirawat di hospital swasta di Seri Manjung, di sini.

Kejadian berlaku apabila kereta Audi A6 dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiga jentera pembinaan jalan yang diparkir di bahu jalan dan terbakar.

Ibu saudara Mahendran itu berkata, dia tidak mengetahui anak saudaranya yang menetap di Taman Daya, Johor datang ke Manjung.

“Kami hanya tahu sebaik menerima panggilan yang memaklumkan kejadian menimpa anak saudara jam 11.45 malam tadi (kelmarin).

“Difahamkan, dia ke sini dengan bas untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) di sini, semalam.

Wanita itu yang menetap di Ayer Tawar di sini, berkata, jika tahu Mahendran berada di Manjung dia akan melarang dan menasihati mendiang supaya tidak melalui lebuh raya berkenaan kerana belum dibuka.

Katanya, anak saudaranya itu akan dikebumikan di Johor Bahru.

“Dia anak baik, banyak bantu keluarga dan kehilangannya amat dirasai biarpun jarang bertemu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan mendapati kereta dinaiki mangsa dari arah Tol Batu 19, Ayer Tawar menghala ke Beruas.

“Kereta mangsa dipercayai terlanggar tiga jentera pembinaan jalan yang diparkir di bahu jalan, kemalangan mengakibatkan kenderaan itu terbakar.

“Dua mangsa iaitu pemandu berusia 28 tahun serta penumpang depan terperangkap dalam kereta dan rentung. Manakala, seorang lagi mangsa yang parah di kepala dihantar ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, kereta itu dipercayai menceroboh laluan kawasan pembinaan lebuh raya yang belum dibuka kepada pengguna.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 5:50 AM