NENEK yang ditahan dalam operasi bersepadu AADK Miri.
NENEK yang ditahan dalam operasi bersepadu AADK Miri.
Erika George


NENEK berusia 50 tahun antara ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam satu operasi di Niah dan Bekenu di Miri, kelmarin.

Operasi bermula jam 11.30 malam hingga 7 pagi itu berjaya menahan 39 suspek berusia antara 17 hingga 50 tahun yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua AADK Miri, Mazalan Jikran berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 32 daripadanya positif dadah jenis syabu.

“Nenek terbabit juga disyaki positif syabu. Mereka yang positif dadah disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mazalan berkata, operasi bersepadu itu turut disertai pasukan AADK Limbang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Balai Batu Niah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Operasi kali ini membuktikan satu lagi kejayaan AADK Miri bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat di Miri.

“Pihak kami akan terus menjalankan operasi sama dan memberi fokus di kawasan luar bandaraya Miri kerana banyak laporan diterima.

“Masyarakat setempat perlu sentiasa peka akan penyalahgunaan dadah yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga dan tidak menyembunyikannya jika terdapat ahli keluarga serta rakan terjebak dengan najis dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 1:10 PM