Keadaan di dapur restoran ketika pemeriksaan pengkuat kuasa KKM dalam Ops Premis Bersih di sekitar Gombak pada 22 Ogos lalu. Foto Ihsan KKM
Keadaan di dapur restoran ketika pemeriksaan pengkuat kuasa KKM dalam Ops Premis Bersih di sekitar Gombak pada 22 Ogos lalu. Foto Ihsan KKM
Siraj Mohd Zaini


TUJUH restoran diarahkan tutup selama dua minggu selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor selain pemeriksaan mendapati terdapat kehadiran tikus serta lipas.

Arahan itu dikeluarkan mengikut Akta Makanan 1983 berkuatkuasa 22 Ogos lalu menerusi Ops Premis Bersih yang dijalankan membabitkan 83 pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sekitar Gombak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, sebanyak 127 premis makanan dan restoran diperiksa dalam operasi terbabit.

“Daripada jumlah itu, lima premis diarah tutup selepas terdapat kehadiran tikus dan lipas di dalam premis berkenaan.

“Dua lagi premis diarah tutup kerana markah peratus kebersihan ketika pemeriksaan dijalankan kurang daripada 65 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, semua premis yang diarah tutup itu diberikan tempoh selama dua minggu untuk menjalankan kerja pembersihan mengikut Seksyen 10 dan Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, ketika operasi dijalankan sebanyak 159 notis membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan kepada pemilik premis dengan nilai kompaun sebanyak RM101,450.

Menurutnya, sebanyak 108 pengendali makanan yang bekerja di restoran serta kedai makanan juga didapati tidak memiliki sijil latihan pengendali makanan serta 109 orang tidak mendapat suntikan tifoid.

“Operasi ini akan diteruskan di seluruh negeri bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan mematuhi undang-undang serta makanan yang disediakan selamat dimakan.

“Orang ramai juga dialu-alukan untuk menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sekiranya mempunyai aduan berkenaan premis kotor atau terdapat produk makanan rosak yang dijual di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 6:24 PM