ABDUL Rahim (kanan) diiringi Mohamed Iran Moriff mencuba buaian yang disumbangkan Bank Islam di Pantai Sepat. FOTO Muhd Asyraf Sawal
ABDUL Rahim (kanan) diiringi Mohamed Iran Moriff mencuba buaian yang disumbangkan Bank Islam di Pantai Sepat. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Shahrinnahar Latib


LIMA buaian yang dipasang di Pantai Sepat, Kuantan menjadi tarikan terbaharu pengunjung.

Buaian sumbangan Bank Islam itu adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi perbankan berkenaan bagi mengindahkan lagi kawasan tumpuan pengunjung itu.

Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff, berkata, inisiatif itu diambil sebagai sumbangan kepada masyarakat.

“Selain buaian ini, kita turut menyumbangkan enam bangku santai untuk kemudahan orang ramai yang berkunjung ke sini untuk beristirehat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan aktiviti ‘Beach Plongging’atau mengutip sampah sambil berjoging yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Abd Rahim Muda di Kuantan, hari ini.

Kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit dalam aktiviti berjoging sejauh dua kilometer sambil mengutip sampah di sekitar pantai itu.

“Budaya ‘plogging’ ini adalah serapang dua mata kerana ia mendorong peningkatan tahap kesihatan individu di samping menjaga kebersihan alam sekitar.

“Kami percaya impak yang lebih besar dapat dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan berterusan dalam memastikan khazanah bumi ini dipelihara,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran acara berkenaan adalah kesinambungan daripada insiatif, Amal Untuk Alam yang bertujuan bagi menggalakkan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan peserta serta memupuk kesedaran menjaga kebersihan alam sekitar.

Sementara itu, Abd Rahim berkata, beliau berharap dengan adanya daya penarik seperti buaian itu dapat mendidik pengunjung untuk lebih peka dan prihatin dalam menjaga kebersihan serta keindahan pantai.

“Saya berharap lebih banyak aktiviti seperti ini dapat dijalankan pada masa akan datang bagi mendidik orang ramai untuk bersama bertanggungjawab menjaga kebersihan di tempat awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 7:28 PM