Mohd Rafi Mamat


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang menyelamatkan lima gajah terperangkap dalam lubang perangkap selut bekas lombong emas haram di Hutan Simpan Ibam, dekat Pekan, semalam.

Pengarahnya Rozidan Md Yasin berkata, kumpulan gajah berkenaan terperangkap dalam lubang selut sedalam 4.5 meter selepas dipercayai ingin berkubang.

Katanya, PERHILITAN menerima aduan daripada masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan hutan berkenaan.

“Operasi menyelamat haiwan itu dilakukan segera oleh kakitangan PERHILITAN negeri dan daerah bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.

“Kita terpaksa memohon bantuan pengusaha lombong di kawasan terbabit untuk menggunakan jengkaut untuk membuat laluan bagi membolehkan gajah terbabit naik serta keluar dari lubang.

“Operasi menyelamat itu dilakukan selama lebih empat jam hingga berjaya sepenuhnya,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, kawasan kejadian itu terletak kira-kira tujuh kilometer (km) dari jalan utama ke Rancangan Penempatan Semula (RPS) Orang Asli Runchang dan kawasan Hutan Simpan Ibam antara habitat semula jadi gajah di Pahang.

Rozidan berkata, lubang yang dihasilkan oleh pengusaha lombong menjadi ancaman kepada bukan sahaja pada gajah tetapi pada semua binatang liar yang berada dalam hutan simpan berkenaan.

Justeru, PERHILITAN menasihatkan pengusaha lombong supaya dapat menutup semula lubang yang dihasilkan selepas operasi mencari gali bahan galian itu selesai bagi mengelak kejadian binatang terperangkap tidak berulang.

“Pada April lalu, seekor gajah dewasa turut terjatuh dalam lubang di Kampung Kedaik, di Pekan, dan operasi menyelamat turut dilakukan PERHILITAN yang turut menggunakan jengkaut.

“Kita memandang serius kejadian yang berlaku dan berharap mendapat perhatian pihak terbabit untuk bertindak tegas terhadap pengusaha lombong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 10:43 AM