NAJIB keluar dari kamar mahkamah pada perbicaraan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi
NAJIB keluar dari kamar mahkamah pada perbicaraan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi
Murni Wan Omar


SEORANG saksi mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa ada kemungkinan dokumen bank membabitkan kes SRC International Sdn Bhd dibocorkan kepada umum sebelum siasatan rasmi dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas SPRM, Rosli Husain, 54, berkata demikian ketika memberi keterangan di dalam perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 66.

Beliau memberi keterangan itu ketika dirujuk laporan portal berita Sarawak Report yang memaparkan transaksi bank membabitkan akaun SRC International dan Najib oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib.

HARVINDERJIT: Kamu katakan ada melihat dan membaca Sarawak Report. Di dalam artikel ini ada mereka nyatakan sama ada dokumen yang mereka siarkan diperoleh daripada mana-mana agensi penyiasat?

ROSLI: Saya tidak tahu dari mana mereka (Sarawak Report) dapat.

HARVINDERJIT: Mungkin dokumen dari agensi siasatan lain?

ROSLI: Saya tidak tahu.

HARVINDERJIT: Laporan Sarawak Report ada memaparkan dokumen transaksi wang membabitkan akaun SRC International ke akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd berjumlah RM5 juta, transaksi dari akaun Ihsan Perdana ke akaun milik Najib berjumlah RM10 juta?

ROSLI: Ya.

HARVINDERJIT: Anda yang siasat semua transaksi ini?

ROSLI: Ya.

HARVINDERJIT: Ketika anda melakukan siasatan terhadap pihak bank mengenai transaksi ini, ada tanyakan bagaimana dokumen ini boleh diperoleh dan disiarkan di Sarawak Report?

ROSLI: Saya tidak tanya.

HARVINDERJIT: Adakah ini bermakna terdapat kebocoran maklumat yang serius?

ROSLI: Jika ada kebocoran atas kertas siasatan, saya kena siasat.

HARVINDERJIT: Setuju dengan saya bahawa ada kebocoran maklumat sebelum siasatan bermula?

ROSLI: Mungkin.

HARVINDERJIT: Sebelum siasatan bermula pada 6 Julai 2015, sudah ada kebocoran maklumat?

ROSLI: Itu cuma adalah anggapan.

HARVINDERJIT: Mungkin ada orang bank bocorkan?

ROSLI: Mungkin boleh dianggap begitu.

HARVINDERJIT: Siapa pegawai yang bocorkan?

ROSLI: Saya tidak tahu.

HARVINDERJIT: Tidak penting untuk siasat?

ROSLI: Polis yang siasat.

Terdahulu, saksi ke-57 itu mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah menyiasat Editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown berhubung artikel bertajuk ‘Najib Razak’s Personal Accounts Linked To 1MDB Money Trail Malaysia Exclusive’.

Beliau mengesahkan tidak pernah berjumpa Claire atau mengarahkan pegawai untuk melakukan siasatan.

Bagaimanapun, Rosli mengakui bahawa siasatan SPRM dibuat berdasarkan maklumat yang disiarkan menerusi artikel yang disiarkan di Sarawak Report pada 2 Julai 2015.

Tambah beliau laporan kertas siasatan dibuka bagi menyiasat kesalahan yang disyaki mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 5:05 PM