PUDIA, saksi kebakaran. FOTO Khairull Azry Bidin.
PUDIA, saksi kebakaran. FOTO Khairull Azry Bidin.
BOMBA mengusung mayat mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
BOMBA mengusung mayat mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Norasikin Daineh


“DIA (mangsa) menjerit meminta tolong beberapa kali, namun api sudah marak,” kata Pudia Andayol, 21, jiran kepada seorang lelaki warga emas yang rentung dalam kebakaran di Kampung Lembising, Putatan, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Sarulai Ompoit@Jimmy, 86, gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap akibat kebakaran dipercayai berpunca dari rumahnya.

Menurut Pudia, ketika kejadian, dia baru saja mahu menidurkan anaknya yang berusia lapan bulan namun tersedar apabila melihat api di dapur rumah mangsa.

“Dapur rumah mangsa berdekatan dengan bilik saya dan disebabkan dia (mangsa) menjerit meminta tolong, baru saya sedar api sudah hampir merebak ke rumah kami.

“Dalam hanya beberapa minit kemudian, rumah kami juga turut terbakar. Saya bersama anak serta dua adik-beradik lain bertindak keluar daripada rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut seorang lagi saksi kejadian, Laminis Amukol, 57, ketika kejadian, dia sedang menjemur pakaian sebelum menyedari terdapat asap tebal dari rumah mangsa.

“Pada mulanya, saya mahu menghubungi bomba tetapi disebabkan panik, saya lepaskan telefon bimbit dan segera ambil baldi dan air untuk bantu memadamkan kebakaran.

“Saya tahu mangsa ada di dalam rumah ketika itu tetapi kami tidak dapat menyelamatkannya kerana api sudah terlalu marak,” katanya.

Sebelum kejadian, Laminis berkata, dia ada terserempak dengan mangsa yang baru pulang dari kedai berhampiran.

“Saya sempat bertanya kepadanya tidak ke Putatan kah hari ini dan dia mengatakan tidak tetapi menyatakan baru saja pulang dari kedai dengan membawa bungkusan plastik.

“Selepas kira-kira 45 minit kemudian, rumahnya pula terbakar dan dia tidak sempat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan, jam 2.54 petang.

Beliau berkata, seramai 20 anggota dari dua balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Penampang dan Kota Kinabalu dikejar ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan lima rumah dan seorang mangsa ditemui rentung. Difahamkan mangsa tinggal seorang diri kerana anaknya keluar berkerja dan sudah terlalu uzur menyebabkan mangsa tidak dapat menyelamatkan diri,” katanya.

Ditanya berhubung punca kebakaran, Misran berkata pihaknya tidak menolak punca kebakaran disebabkan aktiviti memasak.

“Namun siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 8:15 PM