FUZIAH. Arkib NSTP
FUZIAH. Arkib NSTP
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


LYNAS (Malaysia) Sdn Bhd meminta Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh supaya mengemukakan setiap bukti dalam tuduhannya terhadap syarikat terbabit.

Pengarah Urusan dan Naib Presidennya Datuk Mashal Ahmad berkata, Fuziah perlu bercakap atau mengeluarkan kenyataan berlandaskan fakta dan bukan atas tuduhan semata-mata.

“Macam kita (Lynas), apa kita cakap, kita kemukakan bukti. Sejak 10 tahun dulu (Fuziah) bercakap tiada bukti.

“Hendak tuduh, saya boleh tuduh,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, semalam.

Beliau mengulas kenyataan dikeluarkan Fuziah yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu kelmarin.

Antaranya, Fuziah menyifatkan tindakan kerajaan terdahulu membenarkan kilang Lynas Advanced Materials Plant beroperasi di negara ini adalah kerana diperdaya dan ditipu kerana menyangka ia adalah satu industri yang strategik.

Fuziah dilaporkan berkata, sejak Lynas mula beroperasi pada 2012, lebih satu juta tan metrik sisa terjadual dan 500,000 tan metrik sisa buangan radioaktif Water Leach Purification (WLP) disimpan di Gebeng yang bukannya struktur penyimpanan kekal.

Beliau turut mendakwa ribuan peluang pekerjaan yang kononnya ditawarkan pada awal kemasukan kilang itu terbukti hanyalah sekadar janji apabila hanya 600 peluang pekerjaan, setakat ini.

Menurut Mashal, kenyataan dikeluarkan Fuziah seperti tiada kesudahan dan pihaknya tidak perlu melatah dengan apa yang diperkatakannya.

Berita berkaitan

Isu Lynas: Orang ramai berhak kemuka pandangan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 7:51 PM