Penduduk Kuantan beriadah di Taman Esplanade ketika bacaan IPU di bandar itu menunjukkan sederhana iaitu 97. FOTO Farizul Hafiz Awang
Penduduk Kuantan beriadah di Taman Esplanade ketika bacaan IPU di bandar itu menunjukkan sederhana iaitu 97. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Hussin


KEBANYAKAN kawasan di seluruh negara mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) di bawah 100 menunjukkan keadaan sederhana setakat 4 petang ini.

Berdasarkan maklumat dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU tertinggi 97 direkodkan di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang diikuti Sungai Petani, Kedah iaitu 83.

Turut mencatatkan bacaan tertinggi ialah di Pulau Pinang iaitu di kawasan Seberang Jaya dan Balik Pulau masing-masing IPU 81 manakala Seberang Perai dan Minden masing-masing IPU 80.

Majoriti semua kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana manakala di Tawau, Sabah pula berada pada paras baik iaitu IPU 36.

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Jailan Simon berkata, keadaan jerebu adalah bersifat sementara dan pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara secara berterusan.

Beliau berkata, faktor angin yang bertiup secara konsisten dari arah Barat Daya membawa jerebu akibat pembakaran hutan yang berlaku di Indonesia.

“Kebanyakan kawasan di Semenanjung sudah pulih seperti biasa. Bilangan titik panas di Sumatera yang menyumbang kepada jerebu di negara kita juga sudah berkurangan.

“Kita jangka keadaan akan bertambah baik. Cuaca hujan di Lembah Klang juga membantu mengurangkan keadaan jerebu.

“Bagaimanapun, keadaan angin masih dari arah Barat Daya dan jika berlaku lagi kebakaran di Sumatera ia akan menyebabkan jerebu boleh berulang,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Orang ramai boleh melayari http://apims. doe.gov.my untuk mengetahui maklumat IPU semasa yang dikemas kini setiap jam.

Maklumat cuaca terkini turut dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 6:27 PM