Izlaily Nurul Ain Hussein


KERAJAAN negeri masih menunggu laporan Jabatan Kimia sebelum boleh mengesahkan dakwaan wujudnya keracunan bahan kimia sianida dalam badan pesakit yang terjejas akibat insiden pencemaran Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya belum dapat memastikan kesahihan perkara itu.

“Kita tidak dapat nak sahkan lagi sebab belum dapat laporan daripada Jabatan Kimia. Kita akan semak semula dengan mereka dan tunggu laporan ujian itu,” katanya.

PEKERJA syarikat pembersihan memulakan kerja-kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim KiM. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PEKERJA syarikat pembersihan memulakan kerja-kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim KiM. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong yang hadir melawat Pusat Saringan Awal pencemaran Sungai Kim Kim di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.

Terdahulu, dalam laman sosial Twitter ada pihak yang mendakwa wujudnya kandungan keracunan sianida dalam tubuh badan mangsa yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 4:28 PM