Muhammad Apendy Issahak


TULAR di media sosial seorang lelaki yang didakwa mencuri durian di sebuah dusun di FELDA Sungai Klah, Sungkai di Tapah, ditangkap pemilik kebun terbabit sejak malam tadi.

Video berdurasi dua minit dan 52 saat itu memaparkan seorang lelaki ditangkap dan dimarahi serta dipukul oleh dua individu.

Lelaki yang ditangkap itu kelihatan tidak sempat melarikan diri bersama dua guni durian yang diikat dan dibawa dengan sebuah motosikal Honda EX5.

Berdasarkan rakaman video berkenaan, lelaki yang didakwa mencuri itu adalah penduduk setempat yang juga bekas banduan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail ketika dihubungi memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan lagi berkaitan kes yang tular itu.

“Setakat ini, tiada sebarang laporan diterima dan saya akan maklumkan jika ada perkembangan lanjut mengenainya,” katanya.

Video terbabit sehingga kini sudah ditonton lebih 87,000 kali dan mendapat lebih 500 perkongsian serta 1,000 komen sejak ia mula tular di Facebook kira-kira 11 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 10:30 AM
Rakaman lelaki didakwa curi durian yang ditangkap dan motosikal serta guni dipercayai berisi durian tular sejak malam tadi. Foto Ihsan Pembaca
Rakaman lelaki didakwa curi durian yang ditangkap dan motosikal serta guni dipercayai berisi durian tular sejak malam tadi. Foto Ihsan Pembaca