Ahmad Rabiul Zulkifli


KEMEROSOTAN pasaran madu lebah kelulut di negeri ini kian membimbangkan apabila hanya 30 peratus madu lebah kelulut yang terjual setiap bulan berbanding 80 peratus pada tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Lebah Kelulut Terengganu (Pelekat), Mohd Sufian Mat Noor berkata, jualan madu lebah kelulut tidak semeriah tahun lalu sekali gus membimbangkan semua penternak di negeri ini.

“Sebelum ini, permintaan terhadap madu lebah kelulut sangat tinggi seiring dengan pengeluarannya tetapi lambakan madu lebah kelulut di pasaran menyebabkan harga untuk sekilogram madu lebah kelulut itu turun di pasaran buat pertama kali.

“Jika dahulu, madu lebah kelulut dijual dengan harga RM250 sekilogram tetapi harganya menurun sehingga RM120 sekilogram dan ia menjejaskan perkembangan kegiatan penternakan itu di negeri ini.

“Subsidi dan bantuan untuk menjalankan kegiatan penternakan itu banyak disediakan kerajaan tetapi malangnya skop pasaran hasil dikeluarkan kurang diberi tumpuan menyebabkan rata-rata penternak baru tidak mempunyai pasaran memasarkan hasil dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pada Program Lawatan Federal University of Uberlandia, Brazil ke Galeri Madu Kelulut Bukit (GMKB) di Bukit Bayas di sini, semalam.

ARTHUR Bonfa Santana, 26, (dua dari kiri) dan Ana Maria Zaldanha Pereira, 24, (kiri) dari Federal University of Uberlandia, Brazil  mencuba madu lebah kelulut di Galeri Madu Kelulut Bukit (GMKB) di Bukit Bayas. Gambar dalam bulatan, Mohd Sufian.
ARTHUR Bonfa Santana, 26, (dua dari kiri) dan Ana Maria Zaldanha Pereira, 24, (kiri) dari Federal University of Uberlandia, Brazil mencuba madu lebah kelulut di Galeri Madu Kelulut Bukit (GMKB) di Bukit Bayas. Gambar dalam bulatan, Mohd Sufian.

Mohd Sufian berkata, pihak bertanggungjawab perlu membantu dalam menangani isu pasaran madu lebah kelulut itu supaya penternak baru yang dilahirkan melalui pelbagai skim bantuan disediakan kerajaan boleh menjana pendapatan.

“Tidak cukup sekadar memberi bantuan penternakan tetapi tidak menghiraukan hala tuju penternak dan proses memasarkan hasil madu lebah kelulut dikeluarkan mereka.

“Sehingga kini, seramai 180 daripada 1,000 penternak di negeri ini berdaftar dengan Pelekat dan jumlah penternak lebah kelulut itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, PELEKAT pernah merancang memasarkan semua hasil madu kelulut daripada semua penternak di negeri ini ke China pada awal tahun lalu tetapi tidak diteruskan kerana harga ditawarkan sangat rendah.

“Syarikat dari China itu ingin mengimport sebanyak 1,000 kilogram madu lebah kelulut dari negeri ini setiap sebulan dengan harga RM80 sekilogram dan ia tidak berbaloi kerana tidak memberi pulangan sewajarnya kepada penternak.

“Kami harap pihak bertanggungjawab mengambil langkah bagi mengatasi masalah pasaran madu lebah kelulut ini dengan mewujudkan lebih banyak peluang pemasaran ke pasaran tempatan dan luar negara,” katanya.

Menurutnya, birokrasi dan syarat pemasaran madu lebah kelulut juga perlu diberi kelonggaran supaya proses pemasaran hasil madu lebah kelulut itu boleh dibuat secara meluas tanpa terikat dengan peraturan membebankan penternak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:00 AM