FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Ibrahim Isa


PADAH cuba membakar diri di balai polis, lelaki berusia 43 tahun bukan saja melecur sebahagian badan selepas menyalakan pemetik api pada baju dibasahi petrol di Balai Polis Yong Peng hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, pada 11.30 pagi tadi lelaki itu datang ke pejabat pertanyaan balai polis terbabit untuk membuat laporan berkaitan masalah rumah tangga.

“Bagaimanapun, anggota bertugas terhidu bau petrol kuat dan bertanya mengapa badan suspek berbau petrol sebelum lelaki itu menyatakan mahu membakar diri lalu menyalakan pemetik api dan membakar bajunya.

“Anggota bertugas bertindak pantas dengan membawa mangsa ke dalam tandas sebelum menyiram air ke tubuh mangsa dan berjaya memadamkan api, bagaimanapun sebahagian tubuh mangsa melecur akibat perbuatannya itu.

“Anggota kemudiannya menghubungi ambulans sebelum suspek dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kini ditempatkan di zon merah, unit kecemasan HSNI untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:07 PM