ASISTEN Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Juwan Riduan
ASISTEN Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Tagih hutang RM3,000. Itu punca utama kes pembunuhan membabitkan lelaki berusia 25 tahun di Jalan Kionsom Lama, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan dijalankan, suspek mengaku mencekik sebelum menjerut mangsa sehingga mati.

Katanya, suspek kemudiannya mengheret mangsa keluar dari kereta sebelum meninggalkan mayat di kawasan semak.

"Punca adalah kerana suspek marah selepas mangsa menagih hutang sebanyak RM3,000.

"Pada peringkat awal, mangsa bersetuju berbincang, namun berlaku pertengkaran sehingga suspek nekad mencekik mangsa," katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, dalam keadaan mangsa sudah tidak berdaya, suspek sekali lagi mencekik mangsa menggunakan kabel yang ada di dalam kenderaannya.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama tiga hari dan polis percaya kes selesai dengan penahanan lelaki berusia 43 tahun terbabit.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya punca mangsa sempat menghantar lokasi menerusi aplikasi WhatsApp kepada bapanya, Mohd Zaidi berkata, mangsa mungkin terasa terancam.

"Dalam keadaan terancam, mangsa dipercayai terus mengirimkan lokasinya kepada bapanya yang sedang menunggunya di bengkel tempat suspek bekerja," katanya.

Pada Rabu lalu, seorang tukang cat kereta berusia 43 tahun ditahan selepas disyaki menyebabkan kematian seorang lelaki di kawasan semak di Jalan Kionsom Lama, Inanam.

Berita berkaitan

Tukang cat kenderaan ditahan, polis selesaikan kes bunuh kurang 24 jam [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 7:34 PM