Mohamad Hussin


SERAMAI 27 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Parlimen membidas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam, supaya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan sekiranya kesahihan video seks yang menjadi persoalan dibuktikan.

Mereka berpendirian tegas bahawa kenyataan berkenaan tidak berasas kerana hanya berdasarkan spekulasi semata-mata.

Kenyataan bersama itu mahu Presiden sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin.

Beliau juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat.

“Kita hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, beliau mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa Mohamed Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya.

“Justeru berdasarkan penafian tegas Mohamed Azmin Ali berkaitan hal ini, Presiden sewajarnya mempertahankan Timbalan Presiden demi memelihara muafakat utuh PKR dan tidak sama sekali cuba menjatuhkan kedudukan Timbalan Presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh.

“Presiden wajar menyorot kembali asas perjuangan reformasi di mana seluruh kepimpinan dan anggota PKR berdiri teguh mempertahankan beliau dari fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun pada 2011, ketika itu Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa video seks berkenaan adalah tulen,” katanya.

Kenyataan bersama Ahli MPP dan Ahli Parlimen itu dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Mohamed Azmin secara konsisten mempertahankan beliau dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan ‘gutter politics.’

“Maka, kami ingin menegaskan bahawa PKR wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan Timbalan Presiden.

“Kami akan bersama Mohamed Azmin dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini.

“Kami menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR untuk berhenti dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti,” katanya.

Mereka juga menyeru Presiden untuk segera menggembeling perpaduan anggota demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan dan negara.

Antara Ahli MPP dan Ahli Parlimen yang membuat kenyataan bersama ialah Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin, Chua Tian Chang dan Ali Biju.

Haniza Talha (Ketua Wanita/Ahli MPP), Datuk Seri Dr Santhara (Timbalan Setiausaha Agung/Ahli MPP), Amirudin Shari (Ahli MPP).

Berita berkaitan

'Azmin perlu bercuti jika video sahih' - Anwar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 11:46 AM