GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan mencadangkan supaya pentadbiran Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dirombak sekiranya gangguan bekalan air yang dijadualkan di beberapa daerah di negeri itu pada 23 Julai ini tidak dipulih seperti yang dijanjikan.

Pengerusi Suruhanjaya itu Charles Anthony Santiago berkata, SPAN memandang serius perkara itu dan berharap bekalan air di kawasan yang terjejas dapat dipulihkan pada 9 malam (26 Julai) seperti yang dijanjikan.

“Kami (SPAN) juga agak terganggu dengan pemotongan air. Kami sudah bincang perkara ini dalam mesyuarat suruhanjaya kami.

“Sekiranya pada 9 malam (26 Julai) bekalan air tidak dipulihkan, SPAN akan meminta Menteri Besar Selangor Amuridin Shari supaya merombak pengurusan Air Selangor,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan semalam berkata, 758 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual 36 dan 84 jam pada 23 Julai.

Ia berkata, gangguan air akan melibatkan 758,570 pemegang akaun ekoran kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Gangguan dijangka bermula dari 9 pagi pada 23 Julai untuk meningkatkan kecekapan sistem bekalan air kepada pelanggan di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 8:11 PM