RESTORAN makanan segera Chicken Cottage di Taman Tun Dr Ismail. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
RESTORAN makanan segera Chicken Cottage di Taman Tun Dr Ismail. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
BERNAMA

KERAJAAN Terengganu menamatkan operasi dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd tahun ini, kata Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, dua GLC itu ialah pengeluar bata merah menggunakan kaedah tradisional, Permint Bina Bahan Sdn Bhd dan TI Food Ventures Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan outlet restoran makanan segera Chicken Cottage di Kuala Terengganu.

“Selain itu, lapan lagi GLC akan ditutup di mana proses pembatalan pendaftaran sedang dilakukan ketika ini,” katanya menjawab soalan lisan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (BN-Kuala Besut) yang mahu mengetahui jumlah GLC Terengganu ditutup di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kuala Terengganu, hari ini.

Mengenai nasib pekerja di dua GLC ditutup itu pula, Ahmad Samsuri berkata sebanyak RM75,989 bayaran pemberhentian pekerjaan diberi kepada 17 pekerja di Permint Bina Bahan Sdn Bhd.

“Lima pekerja tetap menerima bayaran berjumlah RM40,450 manakala 12 lagi pekerja sementara dibayar RM35,539. Bagi TI Food Ventures Sdn Bhd pula, semua 15 pekerja ditawarkan pekerjaan baharu di beberapa syarikat GLC lain,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, pada 31 Julai ini, satu lagi GLC akan ditutup iaitu TI Global Food Management Limited, syarikat pengurusan Chicken Cottage Malaysia yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Kerajaan negeri juga sedang menilai 39 GLC yang tidak lagi beroperasi yang mungkin akan ‘winding up’ (gulung tikar) atau digunakan sebagai Special Purpose Vehicle (SPV) bagi perniagaan baharu.

Terdahulu, Mac lalu, Ahmad Samsuri mengumumkan langkah penutupan GLC yang tidak aktif itu bertujuan menjimatkan perbelanjaan negeri kerana tidak lagi menyumbang kepada ekonomi Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:39 PM