ANTARA rumah penduduk yang  rosak dalam kejadian ribut  di daerah Temerloh, petang semalam.
ANTARA rumah penduduk yang rosak dalam kejadian ribut di daerah Temerloh, petang semalam.
Shahrinnahar Latib


TEMERLOH: “Ribut cukup kuat menyebabkan pokok di halaman tumbang dan menghempap bahagian tepi rumah. Mujur ketika itu saya dan adik berada di ruang tamu jika tidak mungkin kami turut dihempap,” kata Ahmad Ariffin, 33, mangsa ribut di Kampung Gajah Mati, Mentakab di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang, dia dan tiga adiknya berada dalam rumah tidak mampu berbuat apa-apa berikutan hujan lebat dan ribut kencang.

Katanya, kejadian itu menyebabkan bumbung diterbangkan angin dan beberapa ruang di dalam rumah dibasahi hujan.

“Kami bernasib baik kerana pokok tumbang itu tidak memusnahkan keseluruhan rumah pusaka ini. Ketika kejadian saya berdoa keadaan tidak menjadi lebih buruk.

“Selepas keadaan reda, kami hubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan,” katanya, semalam.

“Setakat ini, 15 atap perlu ditukar kerana rosak. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana terselamat dan tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, 16 rumah dan dua premis kerajaan rosak dalam kejadian yang melanda beberapa kampung di daerah ini, petang kelmarin.

Katanya, antara yang terbabit Kampung Gajah Mati, Kampung Sungai Kepong, Kampung Mempateh, Kampung Paya Keladan, Kampung Seri Ketumbit, Kampung Bukit Ketumbit, Kampung Kerai Jalan, Kampung Tan Seri Yahya, Kampung Rasau dan Taman Paya Taram.

“Premis kerajaan terjejas membabitkan blok kediaman Kem Batu 5, Mentakab dan stor pekerja Sekolah Kebangsaan Kerdau yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:40 AM