Pegawai JAS mengambil sampel bahan kimia sambil diperhatikan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal (kiri) dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Muhammad Ezanni Mat Salleh (kanan) di kilang memproses barangan lusuh yang disita di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang semalam. FOTO oleh Hairul Anuar Rahim.
Pegawai JAS mengambil sampel bahan kimia sambil diperhatikan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal (kiri) dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Muhammad Ezanni Mat Salleh (kanan) di kilang memproses barangan lusuh yang disita di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang semalam. FOTO oleh Hairul Anuar Rahim.
Mary Victoria Dass


JABATAN Alam Sekitar (JAS) menggerakkan asetnya di seluruh negara termasuk penggunaan alat pengesan gas selain pembabitan 100 pegawainya ke kawasan terjejas pencemaran sisa gas kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, sejak Ahad lalu.

Langkah itu bagi menangani penularan ancaman gas berbahaya ke kawasan lain.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, lebih banyak aset akan tiba di kawasan terjejas pencemaran bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Beliau berkata, hujan menyebabkan sisa kimia di sungai mendap ke tanah sebelum penguapan gas kimia ke udara, antara faktor menyebabkan kawasan lebih jauh dari lokasi turut terjejas pencemaran.

“Kita sedang memasang alat pengesan gas di beberapa kawasan berisiko bagi memantau bacaan udara tercemar dan pemantauan berterusan dijalankan.

“Kontraktor dilantik sudah memulakan tugas membersihkan sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim bermula semalam dan pegawai JAS memantau kerja pembersihan dilakukan dengan teliti,” katanya.

Yeo berkata, pihaknya mengenal pasti 252 kilang kimia di sekitar Pasir Gudang dan kesemuanya akan diperiksa dan dipantau dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pemeriksaan akan diadakan selepas krisis pencemaran bahan buangan kimia di Sungai Kim Kim selesai.

“Apa yang penting sekarang adalah kerja pembersihan sungai yang tercemar bagi mengelak ia terus merebak.

“Pihak yang menjalankan kerja pembersihan juga diminta mengambil langkah keselamatan sesuai sepanjang menjalankan operasi membersihkan sungai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 4:03 PM