PESARA tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak angkatnya berusia 17 tahun. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
PESARA tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak angkatnya berusia 17 tahun. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Raja Noraina Raja Rahim


PESARA tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak angkatnya, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tertuduh berasal dari Bandar Springhill, Port Dickson, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun.

Kejadian itu didakwa dilakukannya di sebuah rumah di Bandar Springhill, kira-kira jam 9 malam pada 6 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak tidak menawarkan jaminan namun sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, tertuduh perlu diberi syarat tambahan.

Peguam Joseph Mathews yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dibenarkan ikat jamin kerana menghidap penyakit jantung dan kencing manis.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Lukut, pada 15 hari bulan setiap bulan selain tidak boleh menghampiri serta berkomunikasi dengan mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 19 Ogos depan.

Portal berita Harian Metro 8 Julai lalu melaporkan, polis menahan lelaki warga emas disyaki mencabul anak angkatnya berusia 17 tahun sejak setahun lalu, selepas remaja itu membuat laporan polis pada 7 Julai lalu.

Lelaki itu ditahan pada hari sama laporan polis dibuat, dipercayai mencabul anak angkat perempuannya di rumah mereka tanpa pengetahuan isteri serta anaknya yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 11:36 AM