ANTARA GRO yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA GRO yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


MAMPU meraih pendapatan hingga RM400 sehari, hanya dengan menemani pelanggan minum dan berhibur di kelab malam sekitar Lebuh Pantai, Georgetown.

Itu dilakukan 25 gadis pelayan pelanggan (GRO) Thailand untuk menyara hidup dan memikat lelaki hidung belang yang dahagakan kasih sayang mereka.

Berbekal tubuh seksi dan wajah jelita, GRO itu dikesan mempamerkan kecantikan dimiliki di atas pentas, sebelum dikalungkan selendang khas menandakan mereka sudah ditempah.

Bagaimanapun, semua mereka berjaya ditahan dalam serbuan oleh sepasukan polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Pulau Pinang, malam semalam.

Dalam serbuan bermula 11.50 malam itu, polis turut menahan lapan lelaki Bangladesh, dua lelaki Indonesia dan seorang lelaki Pakistan berusia 20 hingga 50 tahun yang bekerja di premis itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya berjaya mengesan kegiatan ditawarkan di premis berkenaan hasil risikan anggotanya.

Katanya, untuk mendapatkan perkhidmatan itu, pelanggan perlu membuat bayaran dengan harga tertentu terlebih dahulu.

“Gadis-gadis ini mampu meraih pendapatan sebanyak RM300 hingga RM400 sehari dengan melayan pelanggan minum dan berkaraoke dengan premis beroperasi mulai 6 petang hingga 3 pagi.

“Siasatan mendapati pusat hiburan itu bukan saja tiada lesen perniagaan sah, malah turut menggunakan khidmat warga asing tanpa permit untuk bekerja sebagai GRO.

“Tiada perkhidmatan seks ditawarkan kerana premis tidak dilengkapi bilik tetapi kita percaya ada pelanggan yang membawa gadis ini ke tempat lain,” katanya, hari ini.

Zainol berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap 50 pelanggan yang berada di premis itu tetapi tiada tangkapan dibuat.

Menurutnya, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 12:05 PM