ANNUAR berucap ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri. FOTO Ghazali Kori
ANNUAR berucap ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri. FOTO Ghazali Kori
Hanneeyzah Bariah Baharin


UMNO mengajak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bekerjasama dengan parti itu demi kepentingan Melayu kerana UMNO tidak akan bergabung dengan BERSATU selagi parti itu bersama DAP.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO tidak akan bersama dengan parti lain yang bekerjasama dengan DAP kerana perlembagaan parti itu memperjuangkan konsep kesamarataan yang jelas tidak selari dengan perjuangan UMNO.

Beliau berkata, kerjasama UMNO dan BERSATU juga tidak boleh berlaku dengan mudah kerana parti itu membentuk gabungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang sudah jelas tidak akan bersetuju dengan perkara itu.

“Sampai kiamat pun UMNO tak akan boleh terima DAP kecuali DAP mengubah perlembagaan mereka. Dalam perlembagaan DAP, mereka memperjuangkan kononnya konsep sama rata.

“Sama rata itu indah dipandang tetapi ia racun dalam madu. Di Malaysia kita mempunyai perlembagaan yang tidak mengamalkan konsep sama rata, tetapi konsep keadilan.

“Apabila Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir menyeru parti politik lain menyertai BERSATU, soalan saya ringkas: Adakah Lim Kit Siang (pemimpin veteran DAP) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) setuju dengan syor itu yang akan memperkuatkan BERSATU.

“Walau apapun dilakukan, dipaksa, hatta UMNO ditutup sekalipun, ahli UMNO tak akan sertai BERSATU kerana bekerjasama dengan DAP. Jadi apa yang hendak saya katakan, kenapa tidak BERSATU fikirkan untuk mereka menyertai UMNO atau PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri semalam mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai BERSATU bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Annuar berkata, Malaysia mempunyai perlembagaan yang tidak mengamalkan konsep sama rata, tetapi konsep keadilan yang mana golongan kaya perlu memberi pembelanaan kepada yang miskin dan bukan konsep bersaing sesama sendiri.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, UMNO dan PAS sudah di peringkat akhir menyiapkan draf piagam taawun siyasi UMNO-PAS, sebelum menyerahkan kepada presiden kedua-dua parti untuk ditandatangani.

“UMNO melantik Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk duduk berbincang dengan wakil PAS mengenai dokumen piagam taawun siyasi UMNO-PAS dan ia dijangka ditandatangani presiden kedua-dua parti bulan depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 8:56 PM