PAS dan UMNO mengikat taawun siyasi yang dimeterai secara rasmi menerusi Piagam Muafakat Nasional di Kuala Lumpur, Sabtu lalu. FOTO Arkib NSTP.
PAS dan UMNO mengikat taawun siyasi yang dimeterai secara rasmi menerusi Piagam Muafakat Nasional di Kuala Lumpur, Sabtu lalu. FOTO Arkib NSTP.
Hanneeyzah Bariah Baharin


MASIH terlalu awal untuk PAS dan UMNO menubuhkan kerajaan campuran, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah, katanya ia tidak mungkin diwujudkan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), meskipun ada pihak yang mengesyorkannya sebagai bukti keikhlasan kerjasama.

Terutamanya selepas memeterai Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Menurut Abdul Hadi lagi, PAS-UMNO mengikat taawun siyasi yang bermaksud kerjasama, bukan tahaluf siyasi iaitu gabungan dua parti.

“Terlalu awal (untuk kerajaan campuran). Kita tak boleh (wujudkan kerajaan campuran) lagi kerana kerajaan Persekutuan lain, kerajaan negeri pun lain. Kita mula dengan taawun dulu, nak berlaku (kerajaan campuran), nanti pilihan raya lah.

“Yang penting ialah taawun siyasi. Taawun ini dalam istilah modennya ialah kerjasama, bukan ‘coalition’ (gabungan) atau tahaluf. Taawun ini kerajaan yang bekerjasama.

“Kita lebih selesa begitu dan tidak terlalu cepat nak jadi kerajaan campuran. Kita lihat pada PRU-15 lah. Boleh jadi kerajaan campuran, boleh jadi kerajaan perpaduan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila, Marang, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, PAS tidak menolak kemungkinan mewujudkan kerajaan campuran sebelum PRU-15 kerana dalam politik, tiada apa yang mustahil.

Mengenai penerimaan kerjasama itu di peringkat akar umbi, Abdul Hadi berkata, ia sangat baik hingga termeterainya Piagam Muafakat Nasional.

“Apa yang penting pada kita ialah kehidupan dalam masyarakat yang bersatu padu khususnya di kalangan umat Islam dan dalam masa sama mengambil kira masyarakat majmuk. Itu asas kerjasama yang kita meterai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 4:32 PM