ZAINI (dua dari kanan) bersama Habibi (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah ketika sidang media di IPD Kota Kinabalu. FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN
ZAINI (dua dari kanan) bersama Habibi (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah ketika sidang media di IPD Kota Kinabalu. FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN
Fardy Bungga


LAGAK mencurigakan pasangan remaja warga asing di hadapan sebuah bank di Jalan Sagunting, Kota Kinabalu, membongkar kegiatan pengedaran dadah apabila ditahan bersama syabu seberat 1.5 kilogram.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, Selasa lalu, kedua-dua remaja berusia 20 dan 17 tahun ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, pemeriksaan mendapati suspek lelaki yang memegang beg kertas ‘Parkson’ mengandungi beg jenama ‘Fossil’ berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut, beg berwarna hijau itu berisi 10 paket kecil ketulan hablur jernih yang juga dipercayai dadah jenis syabu ,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Zaini berkata, jumlah keseluruhan dadah dirampas dianggarkan seberat 1.5 kilogram dengan nilai rampasan RM75,000 berdasarkan harga semasa.

“Siasatan awal mendapati, suspek memperoleh dadah berkenaan daripada seorang lelaki yang juga warga asing di Sepanggar.

“Polis yakin dadah ini cuba diseludup masuk ke bandar raya ini melalui jalan darat. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan pembekal dadah berkenaan,” katanya.

Zaini berkata, kedua-dua suspek yang tiada pekerjaan ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 9 Julai depan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, polis menyita tiga kenderaan mewah, seutas jam tangan berjenama dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM255,400 untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1953 (Pelucutan Harta) 1988.

Zaini berkata, kejayaan itu adalah rampasan dadah terbesar bagi IPD Kota Kinabalu setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 6:05 PM