ANGGOTA Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama motosikal dan senapang angin yang dirampas daripada suspek dalam cubaan seludup motorsikal curi  ke sempadan Malaysia-Indonesia. FOTO Ihsan PGA
ANGGOTA Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama motosikal dan senapang angin yang dirampas daripada suspek dalam cubaan seludup motorsikal curi ke sempadan Malaysia-Indonesia. FOTO Ihsan PGA
Garret Dawum


CUBAAN lelaki dipercayai warga Indonesia menyeludup masuk motosikal curi ke negaranya gagal apabila ia dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Operasi Batas Risik, Selasa lalu.

Suspek dikesan sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota yang membuat rondaan di sekitar Padang Pan di Kuching, pada 5.15 petang.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Sarawak, Superintendan Rosdi Inai berkata, pihaknya cuba menahan suspek tetapi dia bertindak memecut motosikal terbabit menghala ke sempadan Malaysia-Indonesia sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Suspek berjaya melarikan diri ke Indonesia. Hasil semakan menggunakan Mobilcad, motosikal jenis Yamaha LC135 yang digunakan itu dilaporkan hilang di Bau pada hari sama.

“Pemeriksaan turut menjumpai selaras senapang angin, satu unit teropong dan sebilah pisau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rosdi berkata, rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM8,300.

“Barang rampasan diserahkan ke Balai Polis Bau untuk tindakan lanjut.

“Saya berharap masyarakat setempat khususnya yang berada di sempadan Malaysia-Indonesia supaya memberi kerjasama atau maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras jenayah rentas sempadan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 1:11 PM