FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Abdul Rahemang Taiming


GARA-GARA keliru antara pedal brek dengan pedal minyak seorang warga tua dihukum denda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tawau semalam atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga mengakibatkan kecederaan.

Tertuduh, Mustafa Koral, 67, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Herlina Muse.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh dibatalkan selain menjalani hukuman penjara selama lapan bulan jika gagal membayar denda.

Dia didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguakuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Joan memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor umur selain rekod kesihatan tertuduh yang mempunyai penyakit termasuk angin ahmar dan nyanyuk.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada jam 4.40 petang, 9 Januari lalu, memandu kereta jenis Hyundai Getz secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berumur 47 tahun dan anak lelakinya, lima tahun, dalam kejadian di sebuah gerai Tamu Baru 5, Jalan Apas.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 10:58 AM