Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan pengisytiharan harta oleh ahli parlimen hari ini. FOTO NSTP
Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan pengisytiharan harta oleh ahli parlimen hari ini. FOTO NSTP
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling


DEWAN Rakyat sebulat suara meluluskan pengisytiharan harta oleh ahli parlimen yang dikemukakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan perkara itu selepas Ahli Dewan Rakyat bersetuju dengan usul berkenaan.

Sebelum itu ketika menggulung usul terbabit, Vui Keong menjawab soalan 26 ahli parlimen yang memberikan pelbagai reaksi antaranya mempersoalkan punca kuasa usul berkenaan dilaksanakan.

Antara yang mengambil bahagian dalam perbahasan yang bermula sejak pagi tadi termasuklah Tan Sri Annuar Musa - Ketereh; Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai); Datuk Johari Abdul (Sungai Petani); Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang); Wong Hon Wai (Bukit Bendera); Wong Chen (Subang ) dan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.

Di dalam penggulungannya, Vui Keong berkata, setakat ini 10 ahli parlimen kerajaan belum mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ada yang dalam proses berbuat demikian.

“Sebab itu kita adakan usul hari ini untuk pastikan ada tindakan boleh diambil oleh Speaker.

“Ini juga adalah janji yang terkandung dalam buku Harapan. Saya mengambil maklum mengenai kekhuatiran daripada pembangkang mengenai harta mereka perlu didedahkan kepada umum,” katanya.

Menurutnya, semua cadangan mengenai pengisytiharan harta yang dibahaskan akan diambil maklum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 6:53 PM