BANGUNAN parlimen. FOTO Bernama
BANGUNAN parlimen. FOTO Bernama
Rohaniza Idris


RANG Undang-undang (RUU) Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, serentak dengan itu, usul untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) turut dikemukakan.

Katanya, RUU SST perlu dibentangkan dengan segera sebelum ia dapat dikuatkuasakan September depan.

“Saya sahkan RUU SST akan dibentangkan minggu depan mungkin Isnin... minggu ini tidak sempat,” katanya ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Vui Keong yang juga menteri bertanggungjawab dengan portfolio undang-undang berkata, usaha memansuhkan GST lebih mudah berbanding untuk membentangkan RUU SST.

Katanya, Kementerian Kewangan perlu kemukakan draf RUU SST sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Ada beberapa akta lain yang akan dimansuhkan seperti yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH). Ini akan diutamakan,” katanya.

Ditanya mengenai pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Vui Keong berkata, akta itu di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri dan mereka akan meneliti perkara itu sebelum mengemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri untuk langkah seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 1:40 PM