Faliq Lajim


WALAUPUN baru berkenalan dan belajar di sekolah berbeza, ia tidak menghalang tiga pelajar untuk muncul juara dalam kategori Sekolah Menengah dalam ‘World of Robotics National Championship’ (WRC PRO 2019), hari ini.

Pelajar terbabit adalah Foo Sheng Chai, 14, dari (SMK Seksyen 4, Bandar Kinrara, Kuala Lumpur); J K Shaheil Kumar, 14, (SMK Kota Kemuning, Shah Alam) dan Muhammad Syahir Arshad, 14, (SMK Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur).

Mereka dipilih selepas berjaya menunjukkan kecekapan mengendalikan Robot Tetrix serta menyempurnakan tugas dalam masa ditetapkan, sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia dalam International Robot Contest (IRC) di Korea Selatan, awal Oktober nanti.

Muhammad Syahir berkata, dia dan dua ahli pasukannya tidak pernah berjumpa dan hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

“Pada mulanya, memang agak janggal sebab kami tidak pernah berjumpa. Jadi kami mulakan dengan sesi suai kenal supaya tiada masalah komunikasi dalam pertandingan ini.

“Sejujurnya, memang kami tidak menjangka dengan kemenangan ini. Namun, kami bersyukur serta akan membuat persiapan rapi bagi pertandingan di peringkat antarabangsa di Korea nanti,” katanya selepas Majlis Penutup WRC PRO 2019 di Asia Pasific University of Technology & Innovation (APU) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengasas dan Pengarah Urusan World of Robotics Sdn Bhd, Lee Yew Kein; Ketua Pegawai Operasi (COO) APIIT Education Group, Gurpardeep Singh; COO of APIIT Education Group dan Naib Canselor APU, Prof Dr Ron Edwards.

Selain mereka, pelajar dari Kolej Vokasional (KV) Setapak, Kuala Lumpur yang diwakili Fitri Rosli, 18; Muhd Izzan Haziq Sahidzan, 18; dan Muhammad Farid Firdaus Zul Izman, 18, memenangi kategori KV dan turut mewakili Malaysia dalam IRC nanti.

Fitri berkata, pasukannya itu pernah menyertai pertandingan itu pada tahun lalu, namun kalah berikutan faktor komunikasi antara rakan pasukannya.

“Namun, pada tahun ini kami tebus balik dan membuat persediaan rapi terutama dari segi kemahiran insaniah iaitu komunikasi.

“Kami sudah membuat persediaan hampir tiga bulan untuk pertandingan ini. Segala usaha kami bersengkang mata untuk membuat persediaan bagi pertandingan dan membahagikan masa dalam pelajaran, akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Sebanyak 50 pasukan membabitkan Sekolah Menengah dan KV dari seluruh negara mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan kebangsaan pertandingan WRC PRO 2019 yang bermula Sabtu lalu.

Semua pasukan perlu menggunakan peralatan ‘Pitsco Education’ dari America Syarikat dan menyempurnakan tugasan diberikan.

Pertandingan itu dianjurkan bagi memberikan pendedahan secara meluas mengenai kejuruteraan robotik di peringkat antarabangsa kepada pasukan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 10:03 PM
JOHAN kategori Sekolah Menengah dan Kolej Vokasional bergambar kenangan bersama piala pusingan dan replika tiket penerbangan mewakili Malaysia ke Korea Selatan. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
JOHAN kategori Sekolah Menengah dan Kolej Vokasional bergambar kenangan bersama piala pusingan dan replika tiket penerbangan mewakili Malaysia ke Korea Selatan. FOTO Zulfadhli Zulkifli.