MAAROF (tengah) melawat pameran pada Hari Bertemu Pelanggan Bahagian Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia di Fri Glami Lemi. FOTO/Abnor Hamizam
MAAROF (tengah) melawat pameran pada Hari Bertemu Pelanggan Bahagian Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia di Fri Glami Lemi. FOTO/Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


PUSAT Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI) Glami Lemi mencipta sejarah apabila berjaya melakukan pembenihan ikan patin buah menerusi program pembangunan baka.

Pengarah Kanan Penyelidikan FRI, Dr Zainorddin Jamari berkata, kejayaan itu juga adalah yang pertama di dunia.

Pembenihan ikan patin buah dimulakan dengan mencari baka ikan liar dan proses persenyawaan hingga bertelur dan menetas.

“Ikan patin buah atau bahasa saintifiknya, Pangasius nasutus antara spesis ikan air tawar yang popular. Ia mendapat permintaan yang tinggi selepas tilapia dan keli.

“Ikan ini diancam kepupusan dan atas kesedaran itu kami menjalankan penyelidikan bagi mendapatkan bakanya,” katanya pada Hari Bertemu Pelanggan anjuran Bahagian Penyelidikan di FRI Glami Lemi.

Beliau berkata, penyelidikan dibuat sejak 2016 dengan program pembangunan baka menjadi fokus utama menerusi Rancangan Malaysia ke-11.

Program disempurnakan Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir dan Pengarah Perikanan negeri, Halimi Abu Hanip.

Zainorddin berkata, pihaknya setakat ini sudah menghasilkan lebih 5,000 anak benih ikan berkenaan.

Kejayaan itu diharap membantu industri ikan air tawar dalam penghasilan benih ikan patin buah secara berterusan sekali gus memulihkan stok ikan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 12:30 PM