Dzulkhairi (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang
Dzulkhairi (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang
Ibrahim Isa


PEMANDU Grab direman bagi membantu siasatan sama ada terbabit dengan pengedaran heroin dalam serbuan di Taman Nusa Bestari, Skudai, Iskandar Puteri Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, bertindak atas maklumat risikan dan intipan 4 petang itu, anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri memerhati kereta dinaiki tiga suspek di parkir hadapan restoran di Taman Nusa Bestari.

Menurutnya, selepas setengah jam dua lelaki keluar kereta dengan salah seorang daripada mereka membimbit beg sandang merah manakala pemandu kereta beredar dari kawasan itu.

“Polis menahan kedua-dua lelaki itu dan pemeriksaan ke atas beg itu menemui 11 bungkusan yang dibalut surat khabar.

“Pemeriksaan mendapati, bungkusan itu mengandungi ketulan coklat disyaki heroin seberat 4,965 gram (g) bernilai RM51,400 di pasaran.

“Pada masa sama, kami menjejaki seorang lagi rakan suspek yang memandu kereta dan menahannya di hadapan sebuah stesen minyak di Taman Nusa Bestari,” katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek adalah rakyat tempatan berusia 25 hingga 30 tahun dan siasatan mendapati dua daripada mereka ada rekod jenayah lampau berkaitan ugutan jenayah, khianat dan pukul manakala seorang lagi suspek tiada rekod jenayah.

Katanya, pada masa sama, pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada Grab bagi menentukan sama ada benar atau tidak dakwaan lelaki itu bahawa dia pemandu Grab.

“Dadah itu boleh diedarkan kepada 496,600 orang dan kami percaya ia untuk jualan penagih dadah sekitar daerah ini dan daerah berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 5:50 PM