Iklan haram yang ditampal along. FOTO Arkib NSTP
Iklan haram yang ditampal along. FOTO Arkib NSTP
Rosli Ilham


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara berhubung cadangan pelaksanaan hukuman lebih berat kepada peminjam wang haram atau along.

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, tindakan along yang mengancam nyawa peminjam dan ahli keluarga peminjam sangat serius dan perlu dikenakan hukuman lebih keras.

Beliau berkata, hukuman sedia ada ternyata tidak mendatangkan gerun kepada golongan itu sebaliknya mereka lebih berani melakukan ugutan kepada peminjam.

“Perbincangan bertumpu kepada kemungkinan mengenakan hukuman lebih berat kepada along.

“Kertas tindakan pelaksanaan hukuman itu akan dibawa ke bacaan terakhir Peguam Negara sebelum dibawa kepada kabinet untuk diluluskan,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Pakatan Harapan (PH) di Pejabat PKR Dungun hari ini.

Beliau berkata, peminjam wang haram juga semakin berani membuat promosi iklan pinjaman mereka di bandar hingga ke ceruk kampung.

“Biarpun pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak putus-putus melancarkan operasi membuang iklan mereka, namun mereka terus giat menampal semula iklan mereka.

“Saya sudah arahkan semua PBT di seluruh negara dengan bantuan polis supaya terus membasmi iklan haram itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya apabila seksyen atau hukuman baru itu nanti boleh mendatangkan gerun kepada mereka sekali gus dapat membasmi kegiatan pinjaman wang haram di negara ini.

“Saya berharap kepada peminjam supaya tidak meminjam wang dengan golongan itu yang manis mulut ketika menawarkan pinjaman dan sebaik memberi pinjaman mereka memburu peminjam termasuk mendatangkan ugutan yang membahayakan.

“Orang ramai boleh meminjam dengan institusi pinjaman berlesen yang diluluskan kerajaan yang sudah tentu selamat dan tidak mendatangkan ketakutan kepada peminjam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 7:10 PM