ANTARA peralatan dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan PDRM
ANTARA peralatan dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SINDIKET perjudian dalam talian kini dikesan menghubungi pelanggan lama mereka bagi menghidupkan semula aktiviti berkenaan.

Tindakan itu terbongkar apabila polis menyerbu sebuah premis di Taman Desa Petaling Cheras, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, operasi diketuai Ketua Polis Balai Salak Selatan Baru, Asisten Superintendan V Kumaresan Naidu pada 9.30 malam hasil maklumat dan risikan.

Katanya, serbuan di tingkat satu premis itu berjaya menahan empat lelaki berusia 47 hingga 53 tahun termasuk seorang warga Bangladesh yang berperanan sebagai penjaga premis.

“Polis merampas 10 set komputer riba, satu unit tablet, dua unit modem serta wang tunai RM200 dipercayai wang pertaruhan.

“Siasatan awal mendapati, premis ini beroperasi sejak kira-kira dua minggu lalu dan dibuka bermula 9.30 pagi hingga 9.30 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, premis itu mengiklankan kegiatan perjudian selain berhubung terus dengan pelanggan yang terdiri daripada pelanggan lama.

“Pelanggan perlu membayar secara tunai sebelum diberikan kredit akan dimasukkan ke dalam komputer riba yang sudah disediakan untuk pelanggan di dalam premis bagi memulakan permainan perjudian dalam talian.

“Polis percaya sindiket menyasarkan pelanggan lama kebanyakannya terdiri daripada pelanggan tetap sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 4:32 PM