Muhammad Apendy Issahak


DAHULU hidupnya tidak ubah seperti gelandangan selepas ditinggalkan sendirian selama dua minggu apabila ibunya dipercayai ditahan akibat masalah dadah.

Namun kini, Mohd Firdaus Abdullah cuba mengubah masa depannya selepas diselamatkan pada April lalu.

Ditempatkan di rumah Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam, Kampung Melayu Sungai Rapat kehidupan Mohd Firdaus ternyata berubah ke arah lebih baik.

Namun apa yang dibimbanginya adalah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal dihadapi tahun ini memandangkan dia sudah jauh ketinggalan dalam pelajaran kerana hampir dua tahun tidak bersekolah dan keciciran.

“Alhamdulillah, semua orang baik terhadap saya di rumah jagaan mahupun di sekolah. Mereka banyak memberi sokongan kepada saya untuk menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat.

“Malah, di sekolah saya mendapat perhatian khusus daripada guru yang sanggup mengajar dan memberi tuisyen kepada saya,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, murid lain biasanya balik jam 1.20 tengah hari, tetapi dia diberi tuisyen khas sendirian oleh guru beberapa mata pelajaran setiap hari sehingga jam 2 petang.

“Saya memang banyak ketinggalan sebab dua tahun sudah tidak bersekolah dan perlu berusaha lebih untuk mengejar pelajaran yang keciciran.

“Cuti sekolah pun rumah jagaan ini anjur sesi ulang kaji pelajaran kerana saya bersama dua penghuni lain bakal menghadapi periksa percubaan UPSR selepas Aidilfitri,” katanya.

Kanak-kanak ini ternyata bersyukur serta berterima kasih dengan semua pihak yang membantu dan menyelamatkannya hingga mampu berubah seperti hari ini.

“Dulu saya tak ubah seperti gelandangan, makan minum terpaksa harap ihsan orang dan mandi pula menumpang di stesen minyak. Jika dikenang, memang sedih.

“Saya akan cuba yang terbaik dan harap semua doakan kejayaan saya,” katanya yang beraya bersama Presiden Persatuan Budak Busstand Ipoh, Amiruddin Mohd Daud yang mendapat hak penjagaan sementara terhadapnya.

Harian Metro pada 12 April lalu melaporkan kanak-kanak yang tinggal seorang diri di rumah tidak ubah seperti tong sampah di Kampung Dato’ Ahmad Said, Manjoi, diselamatkan Amiruddin atau lebih mesra dipanggil Tok Anjang.

Kanak-kanak terbabit diselamatkan pada 9 April lalu dan kemudian ditempatkan di Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam serta menyambung kembali persekolahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 6:05 AM