FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dilihat wajar kerana sudah tiba masanya murid tidak dipaksa mengejar bilangan A semata-mata.

Ketua Biro Pembangunan dan Penyelidikan Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia (PPPTMM), Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar berkata, bagaimanapun ibu bapa tidak seharusnya menarik nafas lega dengan pemansuhan itu kerana titik permulaan kepada cabaran baharu dalam mempersiapkan anak ke sekolah menengah juga menjadi tanggungjawab semua pihak.

"Pihak sekolah, guru dan ibu bapa harus memainkan peranan lebih tersusun bagi memastikan tahap penguasaan murid dalam empat subjek teras UPSR sebelum ini dapat dikuasai dengan baik.

"Cabaran utama yang akan dilalui ibu bapa susulan pelaksanaan baru ini bukan saja perlu memastikan anak-anak berjaya menyiapkan kerja rumah bahkan dalam pada masa yang sama menjadi 'guru' di rumah.

"Umum mengetahui, bilangan murid dalam satu kelas sekitar 35 hingga 40 orang berikutan kepadatan penduduk di beberapa kawasan khususnya di bandaraya," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, pemansuhan itu sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pemerkasaan penilaian bilik darjah yang dilihat sebagai medium baharu menentukan tahap penguasaan murid di sekolah.

"Justeru, ibu bapa yang mempunyai anak yang masih di bangku sekolah rendah supaya tidak terkejut dengan perkara ini dengan menamatkan kelas tuisyen secara drastik.

"Ini bertujuan mengurangkan kesan jangka panjang penguasaan anak-anak untuk subjek kritikal sekali gus dapat memastikan kelangsungan pencapaian cemerlang secara berterusan," katanya.

Menurutnya, setakat ini terdapat lebih 60 pengusaha pusat tuisyen seluruh Malaysia yang berdaftar dengan PPPTMM

"Sebaik pengumuman pemansuhan semalam, ramai ibu bapa lebih cakna dengan isu ini dan melihat kelas tambahan perlu diteruskan walaupun kerajaan membuat keputusan memansuhkan UPSR dan membatalkan PT3 tahun ini.

"Rata-rata ibu bapa merasakan keperluan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi proses penilaian baharu yang diperkenalkan KPM iaitu pentaksiran di bilik darjah dan kebanyakan pusat tuisyen masih berjalan seperti biasa," katanya.

Menurutnya, murid sekolah rendah perlu diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran pembelajaran di sekolah menengah.

"Saya mengambil contoh bagi subjek Matematik yang saya ajar. Pemahaman dari darjah enam sangat penting sebagai asas pengiraan untuk mereka masuk ke tingkatan satu seterusnya menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia pada tingkatan lima.

"Pemerhatian yang kami dapat bagi murid darjah enam dan tingkatan tiga kohort 2020 mendapati tahap penguasaan asas bagi subjek teras agak lemah apabila mereka melangkah ke peringkat menengah rendah dan atas.

"Jika perkara ini dibiarkan dan tidak dibendung dengan baik ia boleh menyebabkan pelajar keciciran sehingga SPM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 2:08 PM