MENDIANG Yap Hue Ling. FOTO Harun Yahya
MENDIANG Yap Hue Ling. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya


GURU bahasa Mandarin meninggal dunia selepas empat hari dirawat akibat pengsan ketika mengajar kelas tambahan di sebuah sekolah menengah di Sibu.

Dalam kejadian 27 Mei lalu, Yap Hue Ling, 47, dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu untuk rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia 10.21 pagi semalam.

Adik ipar guru itu yang juga Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew berkata, punca kematian kakak iparnya disebabkan pembuluh darah di bahagian otak pecah akibat serangan angin ahmar.

“Sejurus pengsan ketika mengajar kelas Bahasa Mandarin, beliau dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu, namun disahkan meninggal dunia semalam.

“Mendiang akan dikebumikan pagi esok di Taman Peringatan Nirvana, Sibu,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Difahamkan mendiang mengadakan kelas tambahan untuk muridnya walaupun ketika musim cuti persekolahan.

Selain itu, keluarga mendiang juga bersetuju mendermakan organ kepada golongan lebih memerlukan.

Oscar berkata, keluarga cukup terasa kehilangan mendiang kerana beliau dikenali sebagai seorang yang sangat ceria, baik hati dan prihatin.

“Apa yang saya ingat dia sangat bermurah hati membelikan barang untuk keluarga saya. Kakak ipar saya seorang peramah yang mempunyai ramai kawan,” katanya.

Yap meninggalkan suami dan seorang anak perempuan berusia 10 tahun serta dua anak lelaki berusia 16 dan 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 2:37 PM