NUR Hidayah kehilangan suami ketika seminggu lagi umat Islam menyambut satu Syawal. FOTO Sharul Hafiz Zam
NUR Hidayah kehilangan suami ketika seminggu lagi umat Islam menyambut satu Syawal. FOTO Sharul Hafiz Zam
Zuliaty Zulkiffli


“SEMALAM waktu arwah nak pergi kerja, saya sempat mencium tangan dan memeluknya.

“Dia kemudian keluar tanpa menoleh ke arah saya dan itu kali terakhir saya berjumpa dengannya,” kata Nur Hidayah Ramli, 30.

Dalam kejadian jam 9 pagi semalam, suami Nur Hidayah, Khoiril Ghaffar Mohd Sabardin, 30, meninggal dunia dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan kompleks beli-belah dan pangsapuri yang hampir separuh siap di Kota Damansara, Kuala Lumpur.

Khoiril Ghaffar yang juga penyelia tapak projek itu dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dalam, Padang Terap, 11 pagi tadi.

Nur Hidayah yang ditemui di rumah mentua di Kampung Kurung Hitam, Padang Terap, berkata, dia mengetahui suaminya meninggal dunia jam 10 pagi selepas dimaklumkan rakan arwah.

Dia yang hamil anak kedua berkata, berat ujian menimpa apabila suami pergi meninggalkannya ketika seminggu lagi umat Islam hendak menyambut Aidilfitri.

“Arwah sudah beli baju Melayu warna coklat lebih awal dan Khamis lalu, dia sempat mengajak saya berbuka puasa di Dataran Shah Alam, Selangor sebelum membeli baju raya saya.

“Dia juga sudah mengambil cuti 10 hari untuk menyambut Aidilfitri dan sepatutnya kami pulang ke kampung saya di Perak, Sabtu ini tetapi semua yang dirancang kini tinggal kenangan,” katanya

Nur Hidayah berkata, sebelum ini, anak sulung mereka meninggal dunia ketika kandungan berusia tujuh bulan, September lalu.

Katanya, kali ini arwah suaminya sangat teruja untuk menyambut kelahiran bayi kedua mereka yang dijangka lahir pada 1 September depan.

“Saya akan kuat demi melahirkan bayi ini kerana dia satu-satunya zuriat yang arwah suami tinggal untuk saya.

“Saya reda dengan pemergiannya walaupun tidak dapat menahan sedih kerana dia pergi secara tiba-tiba meninggalkan saya sendirian meneruskan hidup,” katanya.

Sementara itu, ibu arwah, Hatiah Bakar, 68, berkata, malam sebelum kejadian dia berasa gelisah memikirkan sesuatu yang buruk akan berlaku.

Katanya, tak sangka itu petanda yang dia akan kehilangan anaknya.

“Saya kuatkan semangat sebab Allah lebih sayangkan dia.

“Dia sangat sukakan sambal rebung yang saya masak setiap kali hari raya dan kali ini dia tak sempat makan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 3:11 PM