ISNAINI menunjukkan gambar terakhir Nur Athirah ketika ditemui di rumahnya di Rancangan Tanah Belia 2. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ISNAINI menunjukkan gambar terakhir Nur Athirah ketika ditemui di rumahnya di Rancangan Tanah Belia 2. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: "Sebelum pergi kerja, arwah sempat bersalam dengan saya dan minta doakan dia selamat pergi dan balik," luah Isnaini Jemain, 52, bapa kepada Nur Athirah, 26, yang meninggal dunia akibat kemalangan di Jalan Parit 16, Sungai Panjang, di sini, awal pagi semalam.

Nur Athirah meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar pelepah kelapa sawit yang tumbang di atas jalan raya pada 7.30 pagi semalam ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Kejadian itu dilihat sendiri oleh adiknya, Muhammad Afham, 25, yang kebetulan memandu kereta di belakang untuk menghantar adik bongsu mereka, Muhammad Danial Nazif, 11, ke sekolah.

Isnaini berkata dia tidak menyangka akan kehilangan dua orang tersayang dalam masa terdekat apabila bapanya meninggal dunia 30 Disember tahun lalu akibat sakit tua dan kini Nur Athirah pula dijemput Ilahi akibat kemalangan.

"Arwah bekerja sebagai pembantu kedai makan di Parit 1 Timur sejak lapan lalu. Kebetulan pula Muhammad Afham mengikut arwah dari belakang untuk menghantar Muhammad Danial dan sempat melihat kejadian memilukan ini.

"Muhammad Afham terus hubungi saya selepas kejadian itu. Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati arwah sudah terbaring di atas jalan raya," katanya ketika ditemui di Rancangan Tanah Belia 2, di sini, hari ini.

Menurutnya, arwah seorang anak yang baik dan suka membantu orang serta tidak melawan ibu bapa selain rapat dengan ahli keluarga terutama ibunya, Arliza Mudiran, 48.

"Apa yang membuatkan saya sebak, kebaikan arwah disebut majikannya yang memberitahu arwahlah akan menghantar cucunya ke sekolah sekiranya dia tidak sempat menghantarnya.

"Kami sekeluarga reda akan pemergian Nur Athirah dan berdoa rohnya ditempatkan di kalangan orang yang soleh dan solihin," katanya.

Nur Athirah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rancangan Tanah Belia 2, pada 10 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari rumah menuju ke tempat kerja.

"Tiba di lokasi, mangsa dipercayai melanggar pelepah kelapa sawit yang tumbang di atas jalan.

"Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 9:25 PM