ANGGOTA bomba mengangkat mayat Mohd ‘Al-Hazaari yang ditemui lemas berhampiran Jambatan Kampung Tebuk, Kampung Bharu, Sitiawan. FOTO ihsan JBPM
ANGGOTA bomba mengangkat mayat Mohd ‘Al-Hazaari yang ditemui lemas berhampiran Jambatan Kampung Tebuk, Kampung Bharu, Sitiawan. FOTO ihsan JBPM
Noor Hidayah Tanzizi


SEORANG lelaki yang hilang ketika mencari siput berhampiran Jambatan Kampung Tebuk, Kampung Bharu, Sitiawan, semalam, ditemui lemas pada jam 9.30 pagi tadi.

Mangsa, Mohd ‘Al-Hazaari Othman, 51, yang beralamat di Taman Kuala Kangsar, Kuala Kangsar ditemui terapung kira-kira 30 meter dari lokasi dia dipercayai hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan Mohd Zaki Zainol berkata, operasi yang diteruskan pada jam 7 pagi tadi membabitkan seramai 10 anggota dijalankan dengan kaedah pencarian di permukaan menemui mangsa yang terapung pada jam 9.30 pagi.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi turut membabitkan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Difahamkan, mangsa dipercayai datang ke kawasan itu pada jam 10 pagi semalam bersama seorang rakan yang menjala ikan sebelum rakannya itu menyedari kehilangannya.

Bomba yang menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.43 petang menjalankan gerakan SAR sebelum operasi dihentikan pada jam 7.30 malam sebelum disambung pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 11:02 AM