ANGGOTA KPDNHEP Melaka mengeluarkan kompauan selepas pemeriksaan di kedai perabot. FOTO Ihsan KPDNHEP Melaka.
ANGGOTA KPDNHEP Melaka mengeluarkan kompauan selepas pemeriksaan di kedai perabot. FOTO Ihsan KPDNHEP Melaka.
Mohd Hilmie Hussin


EMPAT belas premis menjual fabrik, perabot dan peralatan elektrik dikompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana menganjurkan promosi jualan murah tidak sah.

Tindakan diambil susulan penguatkuasaan oleh pejabat KPDNHEP Melaka pada Khamis dan Jumaat minggu lalu serta semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri Muhamad Aizudin Mohd Said berkata, semua 14 premis itu didapati gagal memberikan notis bertulis untuk mengadakan jualan murah.

“Untuk itu kompaun dikenakan bernilai keseluruhan RM3,300. Serbuan dilakukan di Kota Fesyen Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh; premis sewaan dalam bangunan Tesco Cheng dan sekitar Cheng.

“Ia membabitkan sembilan kedai perabot, satu kedai menjual pakaian, kedai menjual langsir dan kain (2) serta kedai menjual karpet (2),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Aizudin berkata, semua premis terbabit menggantung dan memaparkan tanda diskaun, jualan murah, pengurangan, harga runtuh tanpa

pemberitahuan kepada pihaknya.

Katanya, tindakan itu salah mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Juala Murah) 1997.

“Peniaga digesa mematuhi undang-undang dna tidak mengambil kesempatan ketika musim perayaan ini. Kita juga alu-alukan aduan pengguna yang boleh disalukan ke 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) di talian 03-8000800.

“Atau talian bebas tol 1-800-886-800 mahupun pejabat KDNHEP Melaka 06-2345822. Juga boleh emel ke [email protected], atau melalui aplikasi EzAdu atau WhatsApp ke 019-2794317,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 3:27 PM