Norena (kiri) ketika melakukan lawatan di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Norena (kiri) ketika melakukan lawatan di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Melaka mengesan berlaku penurunan harga jualan bagi barangan keperluan di pasaran sejak pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, penurunan ini juga dipengaruhi oleh program dilaksanakan kerajaan iaitu Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dilancarkan pada 4 Disember 2021 yang lalu.

Katanya, beberapa jenis barangan seperti ayam, telur dan beberapa jenis sayuran yang sebelum ini dilaporkan mengalami kenaikan harga mendadak mula menunjukkan penurunan.

Malah harga ayam standard sebagai contoh, ketika ini dikawal pada harga RM9.30 namun majoriti peniaga menjual pada harga sekitar RM9.00 sekilogram.

Menurutnya, melalui PJKM peniaga menawarkan ayam standard sehingga RM8.00 sekilogram, jauh lebih murah dari harga pada bulan November iaitu sekitar RM9.50 hingga RM10.50 sekilogram.

"Ini menunjukkan keberkesanan program yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha mengawal harga barangan keperluan di pasaran ketika situasi semasa yang agak mencabar ketika ini.

"Apapun, penguatkuasaan berterusan tetap dijalankan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan. Melalui Ops Menu dan Ops Pasar (Sayuran), tujuh kes dihasilkan meliputi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang Sukat 1972," katanya.

Beliau berkata, sehingga 16 Disember 2021 sebanyak 32,206 premis perniagaan diperiksa membabitkan semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang dan peladang.

Sehubungan itu, pengguna juga perlu menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan menyalurkan aduan boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melakadi talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Selain itu saluran aduan melalui aplikasi Whatsapp juga disediakan di talian 019 - 279 4317.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 4:14 PM