Anggota penguatkuasa mengeluarkan notis mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan iaitu melakukan perbuatan tidak sopan dan berpakaian tidak sopan di khalayak awam kepada pengunjung dalam operasi bersepadu di Dataran Lembah Sireh di sini, semalam. FOTO MPKB-BRI
Anggota penguatkuasa mengeluarkan notis mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan iaitu melakukan perbuatan tidak sopan dan berpakaian tidak sopan di khalayak awam kepada pengunjung dalam operasi bersepadu di Dataran Lembah Sireh di sini, semalam. FOTO MPKB-BRI
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seramai 12 individu yang berkelakuan dan berpakaian tidak sopan di khalayak ramai diberi amaran dalam pemeriksaan di Dataran Lembah Sireh di sini, semalam.

Kesemua individu terbabit terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita berusia 18 hingga 25 tahun yang berkunjung ke lokasi itu untuk berbuka puasa.

Pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bermula 5.30 petang.

Setiausaha MPKB-BRI, Mohd Shaifudeen Md Salleh berkata, mereka diberikan notis mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak awam.

Katanya, teguran diberikan kepada pengunjung lelaki dan wanita yang memakai pakaian tidak menutup aurat dan mencolok mata selain berkelakuan tidak sopan.

"Tindakan penguatkuasaan secara memberi nasihat dan pengeluaran notis kepada individu yang melanggar undang-undang dibuat bertujuan mendidik masyarakat untuk memelihara syariat agama Islam.

"Ia juga bagi menjaga keharmonian dan kesejahteraan bandar Kota Bharu serta kesucian agama Islam terutamanya di bulan Ramadan," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi berkenaan membabitkan 30 anggota Bahagian Penguat kuasa MPKB-BRI dan JAHEAIK yang memfokuskan kawasan sekitar Lembah Sireh.

Katanya, operasi berkenaan akan diadakan dari semasa ke semasa dan menasihatkan kepada umat Islam supaya berpakaian sopan di khalayak ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 3:18 PM